This entry has been long overdue… Saya mahu mencoretkannya di sini sebagai peringatan buat diri sendiri dan mungkin memberi manfaat kepada mereka yang membacanya….
Alhamdulillah…segala puji bagi Allah dan setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kepada-Nya atas kesempatan yang Dia berikan buat saya untuk melawat Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras (RKKTBC) pada hari Ahad, 14 Dec 2014, baru-baru ini. Tarbiyah dari Allah melalui anak-anak syurga ini sangat membuka mata saya dan tak kurang juga yang amat menyentuh hati…
Sudah lama sebenarnya saya teringin untuk mendekati golongan ini. Golongan anak-anak kecil yang kurang bernasib baik. Dan Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya mampu menjadikan impian ini satu realiti bersama dengan warga Rich Family. Sepanjang November 2014 yang lalu, kami telah melancarkan tabung Back to School 2015 dan bertekad untuk memberikan sebahagian dari hasil keuntungan jualan sepanjang bulan tersebut kepada penghuni RKKTBC sebagai persiapan mereka untuk kembali ke sekolah pada tahun 2015 nanti.
Alhamdulillah.. setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada anda semua yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memberi sumbangan untuk menjayakan program kami ini. Sebanyak RM5757 telah berjaya dikumpulkan di mana 50% daripadanya telah dibelanjakan untuk membeli kelengkapan sekolah untuk 70 orang penghuni rumah ini yang akan bersekolah pada tahun 2015. Manakala selebihnya diserahkan kepada pihak pengurusan RKKTBC ini untuk membiayai kos barang-barang keperluan seharian atau apa saja kebajikan kanak-kanak yang berada di situ.
Latar belakang kanak-kanak di RKKTBC
Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras ini menempatkan bayi dan kanak-kanak seawal usia 1 hari hingga 12 tahun. Menurut pegawai yang bertugas, selain dari 70 orang kanak-kanak yang bersekolah, terdapat juga kanak-kanak di taska dan 50 orang bayi (usia 1 hari hingga 2 tahun).
Pada mulanya kami menyangkakan rumah ini hanya menempatkan anak-anak yang kehilangan ibu bapa, tetapi sangkaan kami meleset. Rupa-rupanya, RKKTBC juga adalah rumah kebajikan untuk kanak-kanak yang diletakkan di bawah perintah mahkamah, contohnya seperti atas sebab dibuang, diabaikan, didera, ibu bapa dimasukkan penjara, anak luar nikah dan pelbagai lagi.
Jadi, tidak hairanlah peraturan yang dikenakan ke atas kami ketika sesi lawatan amat ketat. Di bawah peraturan semasa di RKKTBC, kami tidak dibenarkan untuk datang bersama anak-anak kami, mengambil gambar anak-anak ini ataupun menggunakan handphone semasa sesi lawatan. Ianya semua bertujuan tidak lain tidak bukan adalah bagi menjaga emosi anak-anak ini.
Namun begitu, ia bukanlah penghalang bagi kami untuk mencipta satu memori baru bersama mereka. Alhamdulillah..kami diberi peluang untuk mendekati 20 orang daripada penghuni RKKTBC ini. Dalam tempoh masa yang diberikan kurang dari satu jam, kami berpeluang untuk mengadakan sesi potong kek (specially made by Puan Siti) dan mengagih-agihkan barang mainan terpakai tetapi masih elok yang dibawa oleh Puan Ida Khairani bersama-sama mereka.
Pada mulanya mereka memanggil kami semua “kakak”. Hihi. Pandai ye budak-budak ni nak ambil hati. Tapi kami meminta mereka memanggil kami aunty. Panggilan kakak tu rasa macam muda sangatlah pulak untuk kami semua yang dah lama masuk 3 series ni. 🙂
Alhamdulillah.. wajah polos kanak-kanak ini jelas sekali kelihatan gembira menerima kedatangan kami. Berebut-rebut anak syurga ini untuk makan kek dan mendapatkan mainan yang dibawa. Mungkin bagi kebanyakan anak kita di rumah – patung yang dah tercabut sebelah mata, kereta yang dah kehilangan tayar, papan hitam yang kehilangan penselnya, etc etc – bukan lagi menjadi perhatian mereka. Tapi, bagi anak-anak syurga RKKTBC ini, setiap satu mainan yang kami beri, mereka ambil dengan penuh penghargaan dan perasaan teruja. (Walaupun mainan yang mereka dapat tak begitu cukup sifat). Masya Allah… tatkala melihat senario itu di hadapan mata saya, saya terkenangkan anak-anak lelaki saya yang amat dimanjakan di rumah. Sejak dari kecil, anak-anak saya mempunyai pilihan, tapi bagi anak-anak ini, apakah pilihan yang mereka ada?
Seperti juga kanak-kanak lain, di kalangan anak-anak RKKTBC ini ada yang lasak, agresif… dan ada yang pasif, suka mendiamkan diri. Yang pasti, di sebalik setiap wajah itu tersimpan 1001 kisah duka yang amat menyentuh hati dan tak mungkin saya dapat fahami sepenuhnya dalam ruang masa yang diberi.
Cukup dengan satu kisah kanak-kanak yang sempat saya ketahui ketika berbual dengannya di situ. Anak syurga tersebut baru sahaja menjejakkan kaki ke RKKTBC. Dia berusia linkungan 10 tahun dan sepanjang hidupnya dia tidak pernah bersekolah. Pilu saya mendengarnya apabila dia mengatakan ibu ayahnya sudah berpisah dah dia sering dipukul dengan tiub motor. MasyaAllah… Berat sungguh dugaan yang dipikul bahu anak kecil ini. 🙁
Ramai lagi di kalangan mereka yang mempunyai bekas-bekas luka dan parut di anggota-anggota badan dan sesungguhnya tak mampu saya untuk membayangkan apakah yang telah terjadi ke atas mereka semua…
Selain dari kanak-kanak yang kami temui ini, RKKTBC juga mempunyai sebuah bilik khas untuk bayi berusia 0-2 tahun. Kami tidak dibenarkan masuk, tapi cukup dari pintu bilik tersebut, kami dapat lihat berpuluh-puluh buah katil yang menempatkan bayi-bayi yang sangat comel. Mereka di situ atas pelbagai sebab – dibuang, anak luar nikah, diserahkan sendiri oleh ibu bapa yang tak berkemampuan dan pelbagai lagi. Yang mendukacitakan sekali, walaupun ramai orang awam yang ingin mengambil mereka sebagai anak angkat, bayi-bayi ini tidak boleh diserahkan jika mereka masih mempunyai ibu bapa yang masih hidup. Walaupun ibu bapa mereka ini tidak pernah mengendahkan mereka, tetapi selagi tiada berlaku penyerahan hak penjagaan, bayi-bayi ini tidak boleh diserahkan kepada mana-mana pihak. Sangat irritating kan?
Pekerja yang menjaga bayi-bayi ini pula hanya seramai 2-3 orang. Cuba anda bayangkan… kalau kita lepas bersalin nak jaga seorang bayi yang selalu bangun tengah malam pun amat memenatkan dan menguji kesabaran, apatah lagi mereka yang hanya 2-3 orang sahaja ini yang perlu menguruskan 50 orang bayi siang dan malam? Walaupun ada shift siang dan malam, tenaga kerja yang ada bagi saya amatlah tidak mencukupi. Nak salin lampin, bancuh susu, bagi makan, seorang demi seorang. Bayi yang masih kecil seawal usia satu hari atau beberapa bulan perlu dipangku ketika memberi susu agar mereka tidak tersedak. Jadi, bayangkan ada 50 orang bayi di satu tempat yang sama. Bila seorang bayi menangis mahukan susu, pasti yang lain pun akan terbangkit tidur dan menangis sama. Tapi mahu tidak mahu, bayi-bayi ini terpaksa menunggu giliran untuk dipujuk. Saya terbayang anak-anak kecil saya jika mereka dibiarkan menangis berlarutan. Ya Allah…Kesiannn….sangat2 kesiann… Bak kata petugas di situ, Alhamdulillah keperluan fizikal bayi-bayi ini mencukupi, tapi mereka sangat kekurangan kasih sayang. Yup… tell me about it!
Jika anda seorang yang berkelapangan dan sukakan bayi, anda boleh menjadi sukarelawan di sini pada bila-bila masa walaupun hanya untuk sejam dua. (Hanya perlu isi borang). Walaupun penat, jangan bimbang… Allah sudah menyediakan ganjaran dan pahala yang amat-amat besar bagi mereka yang memelihara dan menyayangi anak-anak yatim.
Sesungguhnya tarbiyah yang Allah berikan kepada saya semasa melawat RKKTBC ini amat besar. Saya sekali lagi belajar erti kesyukuran melalui anak-anak syurga ini. Mereka mengajar saya untuk bekerja lebih keras bagi membantu dan menggembirakan lebih ramai orang. Dan yang penting sekali, saya perlu kerja lebih kuat bagi menyediakan keperluan masa depan anak-anak saya secukupnya sebagai persediaan andainya saya awal dijemput Ilahi. Ya rabbi…semoga Engkau permudahkan urusan hamba-Mu ini…. Amin..
Salam hormat,
Fara Fadzil – Pengedar Shaklee Kuala Lumpur
Shaklee ID: 860722
012-3579599
Leave a Reply