Setiap ibu hamil pasti mahukan proses bersalin yang mudah, cepat dan selamat, kan? Walaupun apa yang bakal berlaku adalah rezeki masing-masing, namun kita sebagai manusia harus dan boleh merancang agar proses kelahiran berlaku dengan lancar seperti yang kita impikan. Jom saya kongsikan 5 persediaan untuk bersalin yang ibu hamil perlu buat supaya kelahiran anak nanti menjadi satu kenangan yang terindah.
1. Persediaan Lokasi Bersalin
Pertama sekali, kenal pasti lokasi hospital, sama ada hospital swasta ataupun kerajaan, di mana anda mahu bersalin. Ada beberapa kriteria yang perlu dititikberatkan dalam membuat pemilihan lokasi ini:
♥ Persediaan Bajet
Bajet boleh menjadi satu faktor yang amat besar dalam pemilihan hospital bersalin terutamanya jika anda ingin bersalin di hospital swasta. Jadi, sebelum bersalin, ketahui harga pakej bersalin di hospital yang menjadi pilihan anda supaya anda boleh melakukan persediaan bajet.
Ketahui dan peruntukkan juga dalam bajet anda kos-kos tambahan kecemasan seperti kos untuk bersalin secara pembedahan, kos ubat yang tidak termasuk dalam pakej bersalin, kos wad harian jika bayi anda terpaksa ditahan di NICU atau disebabkan jaundis dan lain-lain.
Secara ringkasnya, bergantung kepada kemudahan yang kita inginkan, wang yang perlu diperuntukkan untuk lokasi bersalin ini bermula dengan RM0 (bagi pekerja kerajaan di hospital kerajaan atau pekerja swasta yang dibiaya penuh oleh syarikat) dan boleh mencecah hingga puluhan ribu ringgit.
♥ Kemudahan yang disediakan
Rata-rata ibu hamil yang memilih untuk bersalin di hospital swasta adalah atas sebab mahu kebebasan memilih doktor, wad yang tidak terlalu ramai, dan layanan yang istimewa dari petugas-petugas di hospital.
Tetapi, kemudahan lain seperti kepakaran hospital tersebut dalam mengendalikan situasi kecemasan semasa proses kelahiran juga perlu diambil kira terutama sekali bagi ibu hamil yang mempunyai kehamilan yang berisiko tinggi. Dan bagi ibu-ibu yang mahu menyusukan bayi anda sepenuhnya, pastikan anda memilih hospital rakan bayi.
♥ Jarak hospital dari rumah
Tak semua orang bernasib baik dapat tinggal berhampiran dengan hospital. Atau mungkin juga ada ibu hamil yang ingin bersalin di hospital yang lebih jauh kerana kemudahannya di situ lebih baik. Jadi, sekiranya anda sudah mengenal pasti di hospital mana anda mahu bersalin, sila bajet masa yang anda perlukan untuk ke sana apabila tiba waktunya nanti. Berapa minit yang anda perlukan untuk ke sana jika anda rasa sakit nak bersalin di waktu puncak? Ada tak jalan pintas/alternatif untuk ke hospital? Persediaan ini adalah bagi memastikan anda atau suami anda tidak kelam kabut dan bagi mengelakkan anda ‘terberanak’ dalam kereta sebelum sempat sampai ke destinasi. 😀
2. Persediaan Kelengkapan Ibu dan Bayi
Ini adalah persediaan yang pasti semua ibu bapa tak mungkin lupakan. Sebenarnya, bukan sahaja kelengkapan bayi dan ibu yang bersalin yang disediakan, malah kelengkapan si ayah yang menemani ibu di bilik bersalin juga patut diberi perhatian.
♥ Kelengkapan ibu (ke hospital)
Apabila sudah dekat-dekat nak bersalin, 2 barang paling penting yang si ibu wajib bawa bersama ke mana-mana adalah kad atau buku rekod merah semasa mengandung dan juga kad pengenalan. Lain-lain kelengkapan yang perlu disediakan untuk dibawa ke hospital adalah:
- pakaian (kain batik, kemeja butang depan, coli menyusu, seluar dalam pakai buang, stokin, tudung, dan sepersalinan pakaian ibu dan bayi untuk keluar dari hospital),
- tuala wanita,
- peralatan mandi,
- tisu basah,
- lampin pakai buang,
- minyak panas,
- tuala,
- bengkung,
- set berpantang,
- Thermos
- Minuman 3-in-1, oat, protein tinggi
- Kurma
- Biskut
- Air selusuh/zam-zam
- Air mineral/masak
- Handphone
Pam susu juga sangat digalakkan untuk di bawa ke hospital bagi membantu mengstimulasikan pengeluaran susu sekiranya bayi yang baru lahir sering tidur.
♥ Kelengkapan bayi
Terdapat pelbagai kelengkapan bayi yang perlu disediakan tetapi antara yang paling utama adalah pakaian, lampin pakai buang, peralatan mandi, kelengkapan tidur dan peralatan untuk menyusu.
♥ Kelengkapan ayah
Kadang-kadang ada ibu hamil yang menghabiskan masa berjam-jam lamanya di dewan bersalin sebelum berjaya melahirkan anak-anaknya dengan selamat. Jadi, jika mahu si ayah menemani ibu sepanjang masa semasa dalam proses bersalin, jangan lupa bawa serba sedikit makanan untuknya ye!
3. Persediaan Ilmu
Bagi memastikan ibu-ibu hamil mendapat kenangan yang indah semasa menyambut kelahiran anak, adalah amat penting untuk anda semua mempersiapkan diri dengan serba sedikit ilmu bagi mengelakkan ‘kejutan’ yang anda tidak ingini.
♥ Ilmu tentang tanda-tanda dan peringkat kelahiran bayi
Tanda-tanda awal kelahiran bayi adalah berbeza bagi setiap wanita dan adalah agak mustahil untuk memastikan di manakah titik mulanya. Ia adalah satu proses di mana badan anda akan mengalami beberapa perubahan bagi bekerjasama membantu melahirkan bayi. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti di bawah, bolehlah dikatakan proses kelahiran sudah bermula:
- Sakit yang teruk pada bahagian bawah belakang atau pada bahagian abdomen, selalunya disertai oleh rasa kejang seolah-olah senggugut.
- Anda boleh lihat sedikit darah (lelehan mukus berwarna kecoklatan atau bercampur dengan darah). Jika ia melepasi penyekat mukus yang menyekat serviks, anda berada di ambang pelahiran atau mungkin dalam masa beberapa hari lagi. Ia adalah tanda yang proses kelahiran sedang berlaku.
- Kontraksi berlaku pada jarak waktu yang lebih pendek dan kerap, dan menjadi lebih lama dan lebih sakit.
- Air ketuban anda pecah tetapi proses kelahiran hanya berlaku jika disertai dengan kontraksi yang membuka serviks anda.
Terdapat 3 peringkat proses kelahiran bayi. Bergantung kepada rezeki masing-masing, ada wanita yang dapat bersalin sejurus beberapa jam tanda-tanda kelahiran ini bermula, tetapi ada juga yang terpaksa menunggu berhari-hari malah sehingga 2 minggu sebelum kelahiran bayi benar-benar berlaku.
Fahami “bahasa badan” anda dan sentiasalah berbincang dengan doktor tentang kerisauan yang sedang anda alami. Dalam kelahiran normal, sakit kontraksi yang berterusan, semakin lama semakin kerap dan semakin pendek selama beberapa jam adalah tanda yang paling jelas untuk anda bersegera ke hospital. Namun begitu, anda juga perlu menghubungi doktor dan menjalani pemeriksaan sekiranya anda mendapati bayi anda semakin kurang bergerak, mengalami pendarahan faraj (mukus disertai dengan ‘darah merah segar’), cecair amnion atau ketuban bocor terlalu banyak atau mengalami sakit seperti demam dan lain-lain yang teruk dan berrterusan.
♥ Ilmu tentang proses bersalin
Anda sudah berasa sakit untuk bersalin yang amat sangat dan anda kini berada di hospital. Itulah pertama kali anda memasuki dewan bersalin dan di situ terdapat pelbagai kelengkapan yang anda tidak fahami apakah fungsinya. Apakah yang perlu anda buat?
Bagi mengelakkan anda terpinga-pinga dengan keadaan sekeliling sedemikian, adalah amat digalakkan untuk anda menghadiri kelas-kelas antenatal, tak kira sama ada yang dianjurkan oleh pihak hospital ataupun kumpulan-kumpulan persendirian. Di situ, anda akan diajar untuk mengenal peringkat-peringkat kelahiran, teknik pernafasan dan posisi yang mudah untuk bersalin, memahami jenis alatan dan ubat yang digunakan untuk kes-kes kecemasan dan pelbagai lagi.
Semasa bersalin, anda mungkin mahu memahami apa yang para bidan dan doktor sedang bualkan sesama mereka dan tujuan mereka melakukan sesuatu perkara terhadap anda. Perlukah mereka melakukan VE (pemeriksaan vagina) dan adakah ia berisiko? Bolehkah elakkan episiotomi? Untuk apakah CTG? Apakah pethidine? Untuk apakah pitocin? Berapa lamakah epidural memberi kesan? Apakah sebab mereka pecahkan ketuban (jika belum pecah)? Apakah pre-eclampsia? Kenapa ada kes tumpah darah? Dan pelbagai persoalan lagi yang mungkin anda ada dapat dijawab dengan menghadiri kelas-kelas ini.
Terutamanya bagi ibu-ibu yang mengalami kehamilan berisiko tinggi. Contohnya, mempunyai kencing manis dan darah tinggi semasa mengandung, pembawa kuman GBS dan lain-lain, anda perlu “keep yourself informed” ataupun memastikan anda sentiasa mengambil tahu dan faham risiko yang anda bawa bagi melahirkan bayi tersebut.
Anda juga boleh mendapatkan ilmu ini melalui pembacaan, menonton video dan kumpulan sokongan di media-media sosial. Namun, ia pastinya tidak sama dengan belajar berguru. 🙂
Persediaan ilmu ini bagi adalah amat penting kerana apabila kita tahu dan faham apa yang sedang berlaku di sekeliling, kita akan lebih mudah untuk membuat keputusan dan lebih mudah menerima apa yang para doktor dan bidan sedang lakukan. Knowledge is empowering!
♥ Ilmu Penyusuan
Menyusukan anak memang nampak mudah sehingga ibu-ibu sendiri melakukan dan melalui cabaran penyusuan itu sendiri. Apatah lagi, jika si ibu adalah wanita yang berkerjaya dan telah bertekad ingin menyusukan anak sehingga 2 tahun, maka dalamilah ilmu penyusuan sebanyak-banyaknya.
Antara cabang ilmu yang perlu ibu-ibu ketahui dalam menjayakan penyusuan susu ibu ini adalah:
- Konsep “demand and supply” (permintaan dan penawaran) – Susu ibu akan terhasil lebih banyak apabila terdapat banyak permintaan, iaitu kerap menyusu atau mengepam. Jangan kecewa atau putus asa jika bayi tidak mahu menyusu, menolak puting atau pada awal kelahiran, anda tidak menghasilkan susu. Fahami tentang kolustrum dan kejutkan bayi anda dari tidur setiap 1-2 jam sekali untuk mengstimulasikan penghasilan susu ibu.
- Posisi menyusu dan cara pelekapan yang betul – Posisi dan cara pelekapan yang salah boleh menyebabkan ibu sakit badan dan puting melecet dan berdarah.
- Cabaran dalam penyusuan – Ketahui cara mengendalikan stress, letih bangun malam, payudara bengkak, puting terbalik, menghadapi growth spurt, susu merudum dan lain-lain.
- Makanan dan amalan untuk membanyakkan susu ibu – Seorang ibu yang menyusukan anak wajib minum air masak 3-4 liter sehari dan makan makanan yang berkhasiat dan tinggi protein untuk menghasilkan susu. Terdapat pelbagai makanan yang boleh membantu membanyakkan susu ibu seperti ulam pegaga, ikan tenggiri, halba, lobak putih, alfalfa, broccoli, kurma merah, longan kering, oats dan sebagainya.
- Pengendalian susu ibu – Bagi ibu-ibu yang berkerjaya, anda perlu membuat stok susu ibu semasa masih dalam berpantang dan mengetahui cara untuk mengendalikannya apabila mula bekerja nanti. Bagi mengekalkan jumlah susu yang dihasilkan untuk menampung keperluan si bayi, ibu-ibu perlu disiplin dalam mengikuti jadual menyusu/mengepam susu. Pelajari cara untuk menyimpan susu ibu dan cara untuk memanaskannya. Ibu-ibu boleh mendapatkan ilmu penyusuan ini dengan menghadiri kelas-kelas penyusuan ataupun mengikuti panduan yang terdapat dalam buku.
4. Persediaan Fizikal dan Emosi
Ibu yang mahu bersalin juga harus bersedia dari segi fizikal dan emosi. Ibu yang sihat, tenang dan ceria bukan sahaja dapat melalui proses kelahiran dengan lebih mudah tetapi juga kurang berisiko.
Jadi, antara perkara yang perlu ibu-ibu hamil lakukan adalah:
♥ Mengambil makanan dan minuman yang berkhasiat sepanjang kehamilan
Mengandung bukanlah satu alasan untuk wanita hamil “makan untuk dua orang.” Apa yang penting adalah kandungan nutrisi yang mencukupi untuk keperluan ibu dan anak. Jadi, pastikan anda mengamalkan vitamin ibu hamil bagi menampung keperluan tersebut. Elakkan sering makan di luar atau makan makanan segera yang tidak memberi apa-apa khasiat. Elakkan juga minuman bergas, kopi, teh ataupun minuman manis yang lain dan banyakkan minum air masak.
♥ Senaman
Walaupun sedang hamil. ibu-ibu hendaklah sentiasa bersenam. Bukan sahaja untuk tubuh badan yang sihat, tetapi ia juga dapat membantu melatih wanita hamil mendapatkan stamina yang cukup bagi melahirkan bayi dengan lebih mudah. Terdapat pelbagai senaman ringan yang selamat yang para ibu mengandung boleh belajar dan ikut melalui youtube. Jika ragu-ragu untuk melakukannya, jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat doktor ye!
♥ Urutan Perineum
Belum ramai wanita yang mengetahui tentang urutan perineum ini walaupun mereka sudah pernah melahirkan anak. Urutan perineum ini boleh dilakukan di akhir-akhir kehamilan sekitar 4-6 minggu sebelum dijangka bersalin. Ia dikatakan dapat membantu menyediakan tisu-tisu di sekitar perineum supaya lebih mudah “kembang” ataupun “terbuka” (stretchable) dan seterusnya membantu mengelakkan episiotomi ataupun koyak semasa bersalin. Jadi, jika anda mahu bersalin dengan mudah tanpa jahitan, bolehlah pelajari teknik mengurut ini dan mempraktikkannya beberapa minggu sebelum melahirkan bayi. Bincang dengan doktor anda tentang perkara ini ya.
♥ Menjaga emosi dan berfikiran positif
Ibu mengandung perlu memelihara emosi mereka agar sentiasa berada dalam keadaan positif, tenang dan ceria kerana ia boleh mempengaruhi keadaan dalam kandungan. Ibu yang tertekan akan menyebabkan kandungan turut tertekan. Ingat, ia memerlukan ‘kerjasama’ kedua-dua belah pihak (ibu dan bayi) untuk memastikan proses kelahiran berjalan lancar.
Ibu yang terlalu negatif, tidak yakin atau takut untuk bersalin akan menyebabkan proses bersalin menjadi lebih sukar dan kelahiran anak mungkin akan berakhir dengan pembedahan. Jadi, untuk mendapatkan memori indah semasa bersalin, ibu-ibu harus membayangkan yang indah-indah sahaja yang bakal terjadi sejak dalam tempoh kehamilan lagi. Sentiasa ungkapkan kata-kata positif setiap hari kepada diri sendiri dan berbual dalam bayi di dalam kandungan anda agar ikatan terjalin rapat sejak dalam kandungan lagi.
♥ Tingkatkan amalan rohani
Setiap perkara yang berlaku di dalam dunia ini tidak akan terjadi tanpa izin Allah SWT. Justeru, berdoalah kepada-Nya meminta agar dipermudahkan proses kelahiran. Tingkatkan amalan rohani dengan melakukan solat-solat sunat seperti solat sunat taubat, solat tahajjud dan solat hajat setiap hari, berzikir dan mengaji Al-Quran. Amalkan selalu membaca surah-surah untuk ibu mengandung seperti surah Maryam, surah Luqman, surah Yassin, surah Toha, surah Al-Hujurat dan suruh Yusuf – moga-moga proses bersalin dipermudahkan.
Jangan lupa sentiasa memohon maaf kepada suami, ibu bapa, ibu bapa mertua dan orang-orang sekeliling anda dan meminta mereka mendoakan anda. Semasa mengalami sakit untuk bersalin, alunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan sentiasa membaca doa Nabi Yunus. InsyaAllah, anda akan mendapat kekuatan dan kemudahan untuk melahirkan bayi anda.
5. Persediaan Berpantang
Apabila sudah hampir hendak bersalin, ibu-ibu hamil juga harus melakukan persediaan untuk berpantang. Buat rancangan di mana anda hendak berpantang, bersama siapa, bagaimana anda hendak melaluinya dan ketahui serba sedikit pantang larang yang perlu anda ikut supaya dapat pulih dengan baik selepas bersalin. Antara perkara yang perlu disediakan ialah:
- Cari dan buat temu janji dengan tukang urut atau penjaga pantang – Selepas bersalin, ibu-ibu semua perlu berurut, bertungku, berbengkung, bertangas dan lain-lain bagi mempercepatkan proses pemulihan, pengeluaran susu dan pengecutan rahim. Jika berpantang di bandar, anda perlu melakukan pencarian ini seawal 4-5 bulan kehamilan. Di zaman moden ini, tukang urut selepas bersalin ataupun penjaga pantang (confinement lady) adalah satu kerjaya yang serius. Mereka mempunyai jadual yang penuh dan anda perlu membuat temujanji dengan mereka seawal mungkin bagi memastikan anda mendapat tukang urut ataupun penjaga pantang yang sesuai dan boleh dipercayai. Walaupun anda berpantang di kampung ataupun mempunyai orang tua yang lebih berpengalaman yang menjaga anda, pastikan soal tukang urut ini tidak terlepas pandang.
- Pengurusan rumah tangga semasa berpantang – Kebiasaannya, semua urusan rumah tangga seperti menguruskan anak, membersih, mengemas, membasuh, memasak adalah dilakukan oleh si ibu. Namun, apabila ibu sedang berpantang, satu persediaan perlu dibuat bagi memastikan tugas-tugas yang sama dapat disempurnakan dengan baik terutamanya jika si ibu berpantang sendiri tanpa dijaga oleh sesiapa sepenuh masa. Jadi, bincanglah dengan suami dan anak-anak (jika mereka sudah besar) bagi mengatur semula jadual rumah tangga dan mencari jalan penyelesaian untuk kesenangan semua pihak.
- Set dan kelengkapan berpantang – Semasa mengandung, wanita mengalami perubahan fisiologi dari segi dalaman dan juga luaran. Jadi, untuk mengembalikan bentuk tubuh dan memulihkan semula kesihatan luaran dan dalaman, ibu yang sudah bersalin perlu mengamal dan menggunakan set dan kelengkapan berpantang. Untuk penjagaan dari dalam, para ibu mempunyai pilihan sama ada untuk menggunakan set berpantang tradisional (jamu) ataupun set berpantang moden (vitamin). Manakala untuk penjagaan dari luar pula, ibu-ibu hendaklah menyediakan kelengkapan sekurang-kurangnya tungku dan bengkung yang perlu diamalkan sepanjang tempoh berpantang.
- Penjagaan bayi semasa berpantang – Beberapa perkara tentang penjagaan awal bayi juga perlu diambil tahu terutamanya bagi ibu yang bersalin buat pertama kali dan berpantang sendiri. Antara yang penting ialah cara mandi bayi, penjagaan tali pusat bayi, tungku bayi dan pengurusan uri bayi.
- Mandi wiladah/nifas – Bagi wanita muslim, pelajari juga ilmu tentang cara dan pada waktu bila perlu anda mandi wiladah dan juga nifas.
- Isu yang biasa timbul semasa berpantang – Susu lambat keluar, keguguran rambut, bayi mengalami “cholic” dan jaundis, ibu mengalami sembelit ataupun buasir dan luka lambat sembuh semasa berpantang adalah antara dilemma yang sering dialami oleh kebanyakan ibu yang baru bersalin. Jadi, bagi memastikan tempoh berpantang berjalan lancar, ibu-ibu hamil boleh mempersiapkan diri untuk menghadapi situasi-situasi tersebut sekiranya berlaku.
Demikianlah 5 persediaan yang ibu hamil perlu lakukan sebelum bersalin agar ketibaan bayi yang dinanti-nanti berjalan dengan lancar dan selamat. Ia bukanlah sesuatu yang wajib diikuti tetapi boleh dijadikan panduan buat ibu bapa agar lebih bersedia menerima sebarang kemungkinan. Kita hanya mampu merancang, dan bertawakkallah kepada Allah yang Maha Menentukan.
Semoga panduan ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca semua! 🙂
Ibu hamil ini berjaya mendaki Candi Borobudur di Jogjakarta walaupun usia kandungan sudah mencecah 7 bulan! Amazing kan?
what a great informations.
aida da selamat melahirkan 3 cahayamata…
semua di atas amat menggamit kenangan lama hi hi hi 🙂
time aida bersalin anak pertama & anak kedua, tak begitu byk info aida dpt.
just a direct info from emak, family members dan frens…
masa tu internet bukan sumber utama mcm skang ni…
Alhamdulillah aida..mmg punn..dulu2 nk dpt info bnyk dr mulut ke mulut..n we know better as experience grows..so artikel ni sy buat utk panduan spy tiada persediaan yg tercicir.. 🙂
Perkhidmatan urut tradisional
untuk wanita dan ibu selepas bersalin.
area sekitar sentul dan area seluruh kawasan kuala lumpur.
sila hubungi 013-2096836.